Welcome to WordPress. This is my first post. Edit or delete it, then start blogging!

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Pengenalan

Kepada yang tidak kenal, nama aku Nazrien. Mula menjadi penulis blog tegar pada 2 Disember 2007. Ini adalah permulaan baru untuk dunia penulisan blog aku. Dah agak lama aku tak menulis blog dengan serius, rindu rasanya bila aku baca balik arkib post lama-lama di blog aku dulu. Seronok juga jadi penulis blog ni rupanya. Banyak yang aku dapat dan pelajari sepanjang hampir 5 tahun bergelar penulis blog. Tapi tu semua mungkin akan aku kongsikan di post yang lain. Post ini sekadar pengenalan tentang aku, blog ini, apa yang pernah ada dan mungkin ada di blog ini pada masa depan. Terima kasih jika sudi membaca sampai habis.

Tentang Nazrien,

Pada awal pembabitan aku di alam maya aku lebih gemar menggunakan nama topo, top0, atau topotato. Cuma semenjak akhir tahun 2009 aku mula mempromosikan nama Nazrien dan menggunakannya dengan lebih giat. Ini mungkin taktik aku pada masa itu untuk mempromosikan nazrien.com, entah aku pon tak berapa ingat. Tapi apa yang pasti langkah mempromosikan nama Nazrien dulu agak berjaya dan mendatangkan hasil. Tapi semenjak tahun 2011 aku dah kurang gunakan nama Nazrien dan lebih menggunakan nama topo, penjaga lembu cisdel, dan blogger kacak (kahkahkah).

Dunia Penulisan Blog

Seperti yang aku nyatakan di atas, aku mula menulis blog pada Disember 2007 lebih iaitu semasa cuti semester pertama aku di UTeM. Tujuan aku menulis blog pada masa itu ada dua sahaja; bosan dengan internet dan nak dapatkan duit melalui Google Adsense. Tapi malangnya sampai sekarang aku masih belum dapat merasa hasil daripada Adsense. 5 tahun dahulu untuk menjana pendapatan melalui Adsense di blog berbahasa Melayu adalah agak sukar rasanyalah. Pada awalnya aku menggunakan platform blogspot untuk menulis blog tapi selepas sebulan aku beralih ke wordpress dengan bantuan saudara Arif Samani dari fwenz.info.

Selepas beberapa bulan menumpang pada bulan April 2008 aku berpindah ke domain dan hosting sendiri di alamat topotato.com. Agak lama aku hanya fokus menulis di blog topotato.com dan pada 7 Januari 2010 baru aku mewujudkan blog baru bernama nazrien.com.

Tentang Nazrien.com

Tujuan utama nazrien.com diwujudkan 2 tahun lepas adalah untuk berkongsi sedikit sebanyak ilmu tentang penulisan blog yang merangkumi tips, tutorial dan cara-cara menjadi penulis blog yang kacak di internet. Di nazrien.com la aku mula mendapat ratusan komen dan menulis di nazrien.com adalah satu pengalaman yang sangat mengujakan aku. Mungkin kerana setiap post yang aku tulis dahulu banyak memberi manfaat kepada penulis blog yang lain terutamanya penulis-penulis baru. Tapi malangnya aku tak berjaya mengekalkan momentum untuk menulis dengan kerap di nazrien.com.

Nazrien.com Terbengkalai

Secara jujurnya ada tiga sebab utama kenapa aku biarkan nazrien.com terbengkalai. Pertama pada masa itu aku dalam proses untuk menyiapkan Projek Sarjana Muda (PSM) dan aku terpaksa mengorbankan masa menulis blog untuk memastikan PSM aku siap. Kenapa aku pilih nazrien.com dan bukan blog-blog lain? Sebab untuk menulis satu post di nazrien.com aku memerlukan sekurang-kurangnya dua jam untuk mencari isi dan satu jam lagi untuk menulisnya menjadi satu post yang lengkap. Berbeza dengan cisdel.com aku hanya perlukan setengah jam untuk menulis dan lima belas minit lagi untuk melukis lembu cisdel. Maka aku rasa mengorbankan nazrien.com adalah pilihan yang paling tepat pada masa itu.

Sebab kedua, cisdel.com membesar dengan kadar yang sangat menakutkan. Bandwidth 50 gigabyte sebulan tidak mampu untuk menampung tumbersaran cisdel.com. Oleh kerana aku tidak mempunyai modal yang cukup untuk menaik taraf server dan sudah berasa segan nak minta Sam Serverfreak tambah bandwidth setiap bulan maka sekali lagi terpaksalah aku mengorbankan nazrien.com.

Sebab ketiga, aku rasa aku dah kongsikan segala ilmu yang aku tahu dan tiada lagi yang mampu aku kongsikan di nazrien.com. Maka dengan itu aku berhenti menulis tips di nazrien.com dan kononnya mahu bertapa dan berguru untuk menimba ilmu yang lebih banyak lagi.

nazrien.com lama
nazrien.com suatu ketika dahulu

Kewujudan Semula Nazrien.com

Antara banyak-banyak blog yang aku ada, nazrien.com la tempat yang aku paling berasa puas sekali untuk menulis blog. Walaupun trafiknya tidak sebanyak topotato.com dan tidak sepopular lembu cisdel.com tapi bagi aku kepuasan menulis blog itu adalah yang paling penting. Sebab itu masa aku berniat untuk menjadi penulis blog tegar semula, nazrien.com yang aku pilih. Sengaja aku membuang post-post lama di nazrien.com dan bermula dari awal. Pada masa hadapan mungkin aku akan selitkan kembali tips-tips yang aku rasakan berguna dan perlu, buat masa ni biarlah dulu.

Nazrien.com di Masa Hadapan

Aku tak boleh janjikan apa-apa,mungkin juga aku akan menulis tips menjadi blogger kacak seperti dahulu dan mungkin juga aku akan kongsikan tips doktor cinta atau mungkin tips lukisan gadis vector. Semua tu biarlah rahsia dahulu dan akan didedahkan dari masa ke semasa. Tapi apa yang pasti aku akan menulis di nazrien.com dengan menggunakan ayat penuh dan tatabahasa yang betul. Tiada lagi penggunaan “hohoho” yang sangat banyak seperti di topotato.com dan tiada juga diari catatan harian seorang jejaka kacak.

Kepada pengikut nazrien.com yang lama, jika anda rasa penulisan baru ini tidak sesuai dengan jiwa raga anda. Anda boleh tinggalkan blog ini terima kasih kerana sudi menunggu sekian lama untuk post baru di nazrien.com. Tapi kalau boleh tunggu la dua atau tiga post lagi ye. Sekian terima kasih kerana sudi membaca.

Kemaskini: Atas permintaan, aku dah masukkan balik post dari nazrien.com lama yang aku rasakan bermanfaat. Sekian terima kasih