Tema atau themes blog yang sesuai sangat penting untuk menarik para pembaca blog. Ia bukan sahaja dapat menambahkan kekacakan blog anda malahan, dengan tema yang sesuai pembaca akan berasa lebih selesa membaca setiap post yang ditulis. Sama seperti ketika memilih nama domain, setiap penulis blog pasti akan pening kepala untuk memilih tema yang sesuai untuk blog mereka. Berikut adalah beberapa tips yang berguna untuk memilih tema yang sesuai bagi blog anda.

1) Tema profesional atau tema personal? Terdapat banyak jenis tema yang terdapat pada masa kini dan biasanya setiap tema tersebut dikategorikan mengikut kategori yang sesuai. Perkara asas yang boleh dipertimbangkan ketika memilih tema adalah memastikan dahulu tema bagaimana yang sesuai dengan blog anda. Jika blog anda bercorak profesional agak tidak sesuai jika anda menggunakan tema yang sangat berwarna-warni dan ceria serta mempunyai banyak gambar yang comel. Dan sekiranya blog anda adalah blog personal, pasti tema profesional sangat membosankan dan agak tidak sesuai.

2) 2 kolum atau 3 kolum? 2 kolum bermaksud blog berkenaan mempunyai satu sidebar manakala 3 kolum ada 2 sidebar. Jika widget yang anda gunakan terlalu banyak adalah lebih baik menggunakan tema yang mempunyai 3 kolum. Agak pelik bila kandungan widget di blog lebih panjang daripada post-post yang terdapat di blog. Dan sekiranya anda hanya menggunakan beberapa widget sahaja, lebih baik jika tema 2 kolum digunakan agar kelihatan lebih kemas. Tema 3 kolum kebanyakannya agak serabut.

3) Tema cerah atau tema gelap? Tema cerah dengan tulisan gelap lebih sesuai kerana lebih memudahkan pembacaan. Tema gelap lebih sesuai digunakan untuk blog bergambar sahaja agar gambar itu akan lebih menarik perhatian pembaca.

4) Berapa ramai blogger yang menggunakan tema yang sama? Sebelum memilih tema yang sesuai, lebih baik jika anda selidik dahulu berapa ramai blogger lain yang menggunakan tema yang sama. Ini adalah penting agar blog anda tidak disalah anggap sebagai blog yang lain dan juga menampakkan keunikan blog anda. Jika anda terpaksa memilih tema yang popular, lakukan beberapa perubahan agar tema anda kelihatan lebih unik. Penggunaan banner dan warna yang diubah sangat membantu.

5) Pastikan anda benar-benar suka akan tema tersebut. Perkara yang terakhir tetapi yang paling penting sekali, pastikan anda sendiri menyukai tema tersebut. Jika anda sendiri tidak menyukai tema tersebut dan hanya main pilih sahaja, apatah lagi para pembaca blog anda. Pasti mereka juga berasa menyampah melihat tema berkenaan.

6) Pastikan pembaca anda juga menyukai tema berkenaan. Sebagai tambahan, pastikan juga pembaca blog anda selesa dan suka akan tema berkenaan kerana blog yang anda buat itu memang untuk pembaca. Sekiranya pembaca anda tidak selesa dengan tema berkenaan agak merugikan anda menghabiskan masa yang lama untuk memilih tema tersebut. Memang sukar untuk memuaskan hati semua pihak, tetapi jika ada 10 orang yang berkata tema anda tidak sesuai pasti terdapat perkara yang tidak sesuai dengan tema tersebut.

Cukuplah samapai disini sahaja post kali ini. Jemputlah menjadi peminat nazrien.com di facebook atau langgani RSS feed untuk mendapatkan psot terbaru secara terus ke email anda.