Aku telah mendaftar akaun adsense semenjak 2007 lagi tapi baru tahun ini aku aktif dan letakkan iklan adsense di beberapa blog aku. Syukur alhamdulillah pada bulan Julai pendapatan adsense telah mencapai tahap minimum dan boleh dikeluarkan.  Dapatlah aku merasa #duitraya daripada adsense pada tahun ini. Jadi dalam post ini aku nak kongsikan pengalaman menggeluarkan duit melalui Western Union mungkin ia dapat memberi manfaat kepada anda.

logo western union
Western Union dan Malaysian SuperBrand

Kepada yang tidak tahu, adsense adalah penyedia perkhidmatan pengiklanan untuk web dab blog sama seperti 3 syarikat pengikalanan terkemuka di Malaysia; Innity, Nuffnang dan Advertlets. Oleh kerana ini pertama kali aku nak keluarkan pendapatan adsense aku memang tak tahu apa-apa. Terima kasih kepada rakan-rakan twitter terutamanya saudara ezany dan kak Yanmie yang banyak membalas tweets aku dan memberi tunjuk ajar bagaimana tentang adsense dan penggunaan Western Union.

Pada awalnya aku bercadang hendak menggunakan perkhidmatan Western Union di Public Bank kerana ia terletak betul-betul di hadapan kawasan perumahan aku. Tapi malangnya Public Bank tidak mahu membuat transaksi berkenaan dengan alasan mereka tidak menerima pemindahan wang daripada akaun syarikat kepada individu. Oleh kerana aku memang tidak ada pengalaman tentang Western Union aku akur dan terus beredar ke bank lain.

Borang Western Union Public Bank
Contoh borang Western Union Public Bank

Bank kedua aku pergi adalah BSN yang juga sangat berdekatan dengan rumah aku. Tapi malangnya di BSN juga gagal dengan alasan aku tiada “Pesanan dari Pengirim”. Sebelum pergi ke bank aku dah puas meneliti segala butiran yang pihak Adsense bagi dan perkara-perkara yang perlu akau sediakan untuk urusan tuntutan duit menggunakan Western Union dan memang tiada langsung Adsense pesan apa-apa pada aku. Antara perkara yang perlu disediakan adalah seperti berikut:

  1. Jumlah wang yang hendak dituntut (lebih baik cari dulu nilai dalam RM sebelum membuat tuntutan)
  2. MTCN atau Nombor Kawalan Pindahan Wang yang telah diberikan oleh Adsense
  3. Pengenalan diri seperti IC dan salinannya sekali
  4. Lebih baik jika anda cetak “Statement of Earnings” dan bawa ia bersama

Sekali lagi aku pulang dengan perasaan yang hampa. Malam itu aku menuntut ilmu lagi di twitter dan group Kedai Kopi IM di facebook. Menurut mereka sepatutnya tiada masalah untuk menuntut wang dari Western Union di Public Bank dan BSN. Mungkin kerana cawangan bank yang aku pergi tu kecil dan jarang ada transaksi Western Union aku tidak dapat melakukan traksaksi di bank-bank berkenaan. Mereka juga ada mencadangkan supaya aku pergi ke pejabat pos atau ada satu kiosk di Melaka Sentral yang ada menyediakan perkhidmatan Western Union.

Setelah melayari web Western Union Malaysia, aku dapati memang betul ada syarikat yang menguruskan perpindahan wang keluar negara dan menyediakan perkhidmatan Western Union di Melaka Sentral. Syarikat itu adalah Lotus Group Ent Sdn Bhd. Apa yang lebih menggembirakan aku adalah ia beroperasi setiap hari dari jam 10 pagi – 7 malam.

laman web Western Union
laman web Western Union

Jadi pada hari Sabtu lepas aku pergi ke Melaka Sentral untuk mencari syarikat Lotus Group ini. Ia agak mudah dijumpai kerana kiok itu mempunyai papan tanda kuning besar yang bertulis Western Union di tempat menunggu bas. Maaf kerana aku terlupa untuk mengambil gambar kiosk berkenaan. Hanya satu sahaja kaunter dibuka mungkin kerana aku datang pada waktu makan tengah hari dan hari itu adalah hari Sabtu tapi tak mengapa kerana hanya ada beberapa pelanggan sahaja. Kebanyakkan pelanggan adalah warga asing yang mahu mengirimkan wang ke sanak-saudara di kampung.

Alhamdulillah segala urusan berjalan dengan lancar dan aku berjaya membuat tuntuan wang Adsense menggunakan Western Union di Lotus Group dengan kadar tukaran wang USD $1 bersamaan  RM3.0685. Tak perlulah aku bersusah payah cuba di pejabat pos pula. Berapa jumlah wang yang aku berjaya peroleh tu biarlah rahsia cukuplah untuk membayar PTPTN bulan September ini nanti.

Persoalan Tentang Western Union dan Google Adsense

Sebelum ini memang banyak persoalan aku tentang Western Union dan Adsense. Terima kasih kepada google dan rakan-rakan sosial media kerana banyak membantu menjawab persoalan dan kemusykilan tentang Google Adsense dan Western Union. Berkut adalah beberapa persoalan dan penyelesaian kemusykilan yang berjaya aku kumpulkan.

1. Apa yang perlu dilakukan setelah wang anda mencapai tahap minimum USD $100 di Google Adsene?

Jawapan daripada Ezany: Sila semak info di bahagian “Payment Setting” dan pastikan info yang tertulis adalah benar. Pastikan payment method ditukar kepada Western Union. Tunggu “Statement of Earnings” yang akan dikeluarkan mengikut tarikh yang tertulis. Bila dah dapat statement berkenaan boleh la pergi ke Western Union.

2. Dimana ada menyediakan perkhidmatan Western Union?

Jawapan daripada Google:

  • Pejabat Pos
  • Agro Bank
  • Bank Rakyat
  • CIMB (menurut Ezany mulai 1 September 2012 CIMB dah tidak menawarkan perkhidmatan Western Union -.-)
  • AmBank
  • Bank Muamalat
  • Hong Leong Bank
  • Public Bank
  • RHB Bank
  • Bank Simpanan Nasional
  • dan mana-mana tempat yang ada memaparkan logo Western Union
  • Senarai penuh boleh didapati di laman web Western Union Malaysia

3. Nama pada akaun Adsense tiada Bin

Contohnya nama anda menurut IC adalah Nazrien bin Zaraini tetapi sewaktu anda mendaftar Adsense anda hanya menulis Nazrien Zaraini sahaja. Jadi pada statement Adsense hanya ada nama Nazrien Zaraini sahaja sebagai penerima. Menurut saudara Shamsuriyadi dalam post beliau,

Jawapanya boleh. Kaedah penamaan di Malaysia berbeza dengan US dimana nama keluarga diletakkan dihadapan contohnya David Beckham, diorang panggil Becham iaitu nama bapa si David. Dalam kes Bin ini, Bin dikira sebagai middle name. Ia adalah optional samada diletakkan atau tidak. Yang penting ialah First Name dan juga last name. Dalam kes nama orang Malaysia, First Name adalah nama kita iaitu Nazrien dan last name adalah Zaraini. Jangan risau jika tiada Bin tu. Masih boleh lepas.

Cukuplah sampai di sini sahaja perkongsian pengalaman aku mengeluarkan wang adsense melalui Western Union. Jika ada sebarang persoalan atau kemusykilan bolehlah diajukan di bahagian komen. Sama-sama kita cari cara penyelesaiannya nanti. Terima kasih diucapkan kepada mereka yang banyak membantu aku dalam proses mengeluarkan duit di Western Union. Sekian terima kasih.

Penghargaan: Ezany, kak Yanmie, ahli group Kedai Kopi IM, shamsuriyadi.com, abang jaga kiosk Lotus Group Ent, Melaka Sentral dan lain-lain lagi.