Menulis sesebuah post dalam blog memang memerlukan semangat dan mood yang tinggi macam nak menghasilkan satu novel karya agung juga. Mengekalkan momentum dan semangat untuk menulis blog bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Penulis profesional sendiri kadang-kala menghadapi masalah ini dan seringkali kehilangan semangat atau idea untuk terus menulis. Kali ini aku nak kongsikan beberapa tips untuk mengembalikan semangat untuk menulis blog terutamanya bagi blog-blog yang dah bersawang seperti nazrien.com dahulu. Tips ini berdasarkan pengalaman sendiri dan mungkin juga sesuai untuk anda.

1) Tukar tema blog anda. Mungkin ia kelihatan seperti remeh, tetapi percayalah ia sangat berkesan. Dengan menukar tema atau template blog dapat memberikan mood  dan semangat baru kepada anda. Sama la macam bila anda teruja selepas bilik atau rumah anda dicat baru. Kalau tak terdaya nak tukar tema, tukar header atau tukar latar belakang pon dah cukup baik.

2) Baca kembali post-post yang pernah anda tulis untuk mendapatkan inspirasi. Dalam 1000 post yang anda pernah tulis pasti ada beberapa post yang benar-benar mantap dan membuatkan anda percaya anda merupakan seorang penulis blog yang hebat. Baca sekali komen-komen sokongan, pujian, ucapan terima kasih yang ada dalam post itu. Apa salahnya sekali-sekala perasan jadi penulis blog yang hebat haha. Tapi jangan la berlebih-lebih pulak ya. Anda pasti akan bersemangat untuk menulis lebih banyak lagi artikel yang mantap dan menjadi seorang penulis blog yang hebat dan kacak!

masa untuk update blog
sumber gambar dari adorotedevote.blogspot.com

3) Ingat kembali kenangan masa mula-mula hendak menulis blog dahulu. Setiap orang pasti ada kenangan masa mula-mula bersusah payah nak buat blog dulu. Bersemangat waja cari tutorial macam mana nak tulis blog, macam mana nak edit blog, tips tarik pelawat, tips seo, tips dapat komen banyak, kena marah sebab copy paste blog orang lain, upah orang mintak tolong cantikkan blog tapi kena tipu, masuk kumpulan main klik-klik nuffnang dan macam-macam lagi. Walaupun kenangan itu tak semuanya manis tapi bila diingat semula pasti akan membuatkan anda tersenyum sendiri. Semua kenangan dan pengalaman tersebut mampu untuk mematangkan kita dan memberi semangat untuk terus menulis blog.

4) Teruskan target asal atau tetapkan target baru. Masa kita aktif dan bersemangat untuk menulis blog dahulu pasti kita ada target dan tujuan yang mendorong kita kan? Target nak jadi penulis blog terkenal, nak dapat trafik juta-juta, nak tunjukkan hasil karya ke seluruh dunia dan macam-macam lagi. Anda hilang semangat untuk menulis blog mungkin kerana target terlalu sukar untuk dicapai, jadi sila kaji semula tujuan dan target anda jika perlu ubah silakan. Jika anda rasa anda sudah cukup matang untuk meneruskan target yang dahulunya agak mustahil sila teruskan itu lebih bagus. Tapi pastikan anda mempunyai cara dan pendekatan yang berbeza, takut nanti hilang sengat versi 2.0 pulak hehe.

5) Rancang post yang hendak ditulis. Bila dah ada sedikit semangat nak menulis, rancang dan draf seberapa banyak post yang boleh untuk digunakan sebagai bekalan waktu semangat hampir pudar nanti. Bersemangat waja tapi tak tahu nak tulis apa? Tanya Nazrien haha. Kalau ada orang tanya nanti aku jawab

6) Dapatkan sokongan moral dari kawan-kawan. Semasa anda aktif dan bersemangat menulis blog dahulu pasti ada kawan-kawan yang rajin menulis blog juga kan? Minta sokongan moral daripada mereka untuk mengembalikan semangat menulis anda. Kalau kawan-kawan semua dah tak menulis blog juga tak mengapa, di Malaysia ada lebih 250,000 orang penulis blog inilah masanya untuk anda mencari kawan-kawan baru yang boleh membantu mengembalikan semula semangat untuk menulis blog.

Cukuplah 6 dulu rasanya, kalau anda ada nak tambah silakan ruangan komen terbuka luas untuk anda. Tips ini berdasarkan pengalaman aku sendiri, agak lama juga aku ambil masa mengembalikan semangat untuk menulis blog. Semoga memberi manfaat kepada anda dan terima kasih kerana sudi membaca.

No related content found.