Post ini hanya melibatkan tetang reka bentuk banner dan bunting fizikal ya, bukan web banner dan sebagainya. Banner dan bunting biasanya digunakan untuk tujuan mempromosikan sesuatu tak kiralah produk, perkhidmatan, acara dan lain-lain lagi. Banner yang cantik dan berkesan mampu untuk menarik minat orang ramai serta dapat membantu mempopularkan lagi produk anda. Kali ini aku nak kongsikan beberapa tips asas perkara yang anda perlu tahu sebelum anda boleh merekabentuk banner atau bunting anda sendiri.Tips ini berdasarkan pengalaman aku yang tak seberapa dalam bidang rekabentuk grafik ini. Semoga memberi manfaat.

1) Tahu membezakan antara banner dan bunting. Perkara paling asas sekali sebelum anda boleh membuat rekaan yang cantik dan menarik, anda perlu tahu apa beza banner dan bunting. Secara mudahnya, banner adalah melintang dan bunting adalah menegak. Banner biasanya lebih besar daripada bunting dan harganya lebih mahal dan hanya dipasang di tempat-tempat tertentu. Bunting yang berharga lebih murah biasanya dicetak dengan banyak dan dipasang. Jadi kalau anda mahu buat majlis yang kecil-kecilan dan mahu jimatkan kos cukup sekadar menggunakan bunting sahaja. Perbezaan yang lebih jelas boleh dilihat pada gambar di bawah.

perbezaan banner dan bunting
perbezaan banner dan bunting

2) Tahu saiz dan jenis banner atau bunting yang hendak dibuat. Banner dan bunting mempunyai beberapa saiz tetap yang sering digunakan. Ia mungkin berbeza mengikut kemampuan mesin cetak tempat banner atau bunting itu dicetak, tapi mengikut kebiasaannya saiz banner dan bunting adalah seperti berikut:

  • saiz banner: (12 kaki x 4 kaki) / (15 kaki x 4 kaki) / (10 kaki x 5 kaki) / (20 kaki x 4 kaki)
  • saiz bunting: (3 kaki x 6 kaki) / (2 kaki x 6 kaki)

Saiz yang dinyatakan hanyalah sekadar panduan jika anda memang tak tahu nak buat saiz apa. Tapi jika bos anda suruh buat banner (30′ x 4′) anda buat jela, jangan marah bos pulak kata Nazrien yang kacak tak cakap pon ada saiz (30′ x 4′). Anda buat je, kalau tak jadi nanti salahkan bos haha.

Contoh banner 20' x 4'
Contoh banner 20′ x 4′ yang aku pernah buat, sesuai untuk dijadikan papan tanda kedai

Bunting terdapat dalam 2 jenis yang dibezakan mengikut kaki bunting berkenaan. Iaitu bunting X-stand (spider-stand) dan bunting T-stand (round-stand). Hal ini sangat penting untuk diketahui kerana bunting X-stand tidak boleh dipasang padang kaki berbetuk bulat atau T-stand dan begitu juga sebaliknya. Kalau anda memang tak mempunyai kaki bunting dan hanya pasang pada tiang atau pokok sila tempah bunting T-stand. Rujuk gambar dibawah.

perbezaan X-stand dan T stand
perbezaan X-stand dan T stand

3) Tahu menggunakan sekurang-kurangnya satu perisian untuk merekabentuk. Ini perkara yang paling penting sekali. Anda perlu tahu meggunakan sekurang-kurangnya satu perisian untuk merekabentuk banner atau bunting. Antara perisian yang sesuai adalah Adobe Photoshop, Adobe Illustrator, Corel Draw dan lain-lain lagi. MS Paint dan Photoscape tak sesuai untuk merekabentuk banner ya. Secara peribadinya aku lebih galakkan untuk guna Adobe Illustrator (Ai) berbanding Photoshop (Psd) kerana Ai dapat menghasilkan imej vector manakala Psd hanya menghasilkan imej raster. Nak tahu perbezaan vector dan raster? Sila tanya.

Kalau anda memang tidak tahu menggunakan mana-mana perisian sila belajar atau nak lebih cepat sila upah orang lain untuk buat banner anda. Bukan semua benda kita boleh buat sendiri πŸ™‚ Walaupun anda upah orang, kalau anda tahu sedikit sebanyak tentang rekabentuk banner dan bunting kan lagi bagus.

4) Tahu perbezaan antara warna CMYK dan RGB. CMYK adalah empat warna yang terdapat pada mesin cetak yang membawa maksud Cyan, Magentha, Yellow, dan Key (hitam) dan RGB bermaksud Red, Green, Blue. CMYK sesuai untuk rekabentuk cetakkan seperti banner, bunting kad dan sebagainya manakala RGB sesuai untuk rekabentuk digital seperti banner web dan sebagainya. Apabila anda hendak merekabentuk banner atau bunting, anda perlu tukarkan Color Mode kepada CMYK Color. Jika tidak, apabila banner atau bunting anda siap dicetak nanti warnanya tidak akan sama seperti warna yang anda kehendaki.

Perbezaan CMYK dan RGB
Perbezaan CMYK dan RGB: dekat sini tak nampak sangat, tapi kalau cetak warna RGB nanti akan nampak sangat menyala

5) Tahu apa yang anda hendak tulis di banner atau bunting berkenaan. Jika anda tidak tahu empat perkara di atas tidak mengapa kerana anda boleh tanya orang lain atau mengupah sahaja orang yang pakar. Tapi kalau anda sendiri tak tahu apa yang anda nak tulis pada banner tersebut, lupakanlah niat anda seketika dan sila perah otak memikirkan informasi dan ayat yang sesuai.

Tips tambahan berdasarkan pengalaman tak seberapa. Untuk merekabentuk banner yang berkesan, pastikan penggunaan warna adalah bersesuian. Jangan terlalu taksub menggunakan banyak warna dan menyebabkan banner atau bunting anda sukar untuk dibaca. Pastikan perkataan pada banner atau bunting itu lebih menonjol berbanding latar belakang banner berkenaan.

Aku tak dapat nak berikan sebarang panduan tentang harga banner atau bunting kerana ia berbeza mengikut negeri, tempat, status dan kedai yang anda tempah. Kalau ada sebarang pertanyaan lagi boleh diajukan secara terus kepada Nazrien di facebook, twitter, email dan sebagainya. Sekian terima kasih, semoga dapat memberi manfaat kepada anda.